header nuffnang

Laman Utama

Tuesday, March 22, 2011

Hattan Dah Siap Penaja Untuk Ke IB ?



Penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Bonar ini merupakan di antara rocker yang berjaya menempatkan diri dalam industri muzik sehingga kini. Walaupun sekarang ini agak jarang kita mendengar tentang perkembangan karier Hattan, tetapi duda anak satu sebenarnya sangat sibuk dengan karier seninya.

Terkini, dia sibuk dengan penganjuran Karnival Mesra Belia 1 Sarawak yang diadakan pada setiap minggu bermula Januari lalu. Untuk karnival ini Hattan menerusi syarikatnya, Riaa Events Sdn Bhd perlu menjayakan konsert yang diadakan di setiap lokasi karnival.

“Projek ini memerlukan syarikat saya membawa lima atau enam artis untuk mengadakan persembahan di setiap lokasi karnival. Kita ada 71 lokasi kesemuanya dan pada setiap minggu, kita kena adakan persembahan di beberapa buah lokasi. Pernah terjadi sampai tujuh tempat. Ini bermakna, setiap minggu syarikat saya perlu menguruskan lebih 30 orang artis untuk dibawa ke Sarawak.

Kalau ditanya penat atau tidak, memang saya jawab penat. Tetapi, saya seronok kerana dapat berjumpa dengan ramai peminat di luar bandar. Mereka ini sangat menghargai kehadiran penyanyi dari Semenanjung. Malah, mereka juga sangat sporting. Setiap kali saya dan rakan-rakan buat persembahan, pasti ramai yang hadir,” cerita Hattan.

Dalam perkembangan lain, Hattan juga memberitahu yang dia sebenarnya sedang merancang satu konsert solo sempena 25 tahun berada dalam industri. Jelas penyanyi ini, berkemungkinan besar dia akan mengadakan konsert solo itu di Istana Budaya (IB).

“Ini adalah perancangan saya untuk meraikan peminat yang telah menyokong saya selama 25 tahun ini. Buat masa ini IB adalah pilihan pertama saya sebab ia adalah sebuah pentas yang berprestij. Rasanya bukan saya sahaja mahu masuk ke IB, pasti ramai lagi penyanyi lain yang menginginkannya.

Kertas kerja untuk projek ini telah pun siap. Bahkan, saya juga sudah dapat penaja. Saya sedang mencari masa yang sesuai untuk berbincang dengan pihak pengurusan IB. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar dan hajat saya untuk mengadakan konsert ini tercapai. Seandai jadual di IB penuh, mungkin saya akan tunda ke tahun hadapan,” ujar Hattan yang mahu mengadakan konsert selama tiga malam berturut-turut.

Sedikit gambaran mengenai konsert itu, Hattan menjelaskan dia mahukan sebuah konsert yang artistik di mana ia menceritakan perjalanan kariernya sepanjang tempoh 25 tahun.

“Saya tidak mahu ada lakonan dalam konsert itu. Selain menyanyi, saya mungkin akan gunakan skrin besar untuk membantu penceritaan. Selain itu, saya juga akan gunakan orkestra untuk iringi persembahan saya. Tapi, bukan untuk semua lagu. Untuk muzik rock ini rasanya tidak sesuai kalau kita masukkan orkestra. Lebih baik saya bagi muzik yang betul-betul raw supaya peminat yang hadir nanti lebih terhibur,” ulas Hattan.

No comments:

Post a Comment